Indeed Allah will not change the condition of a people until they change what is in themselves - Ar-Ra'd: 11

Sunday, June 21, 2009

Tujuh lagi disahkan H1N1


PUTRAJAYA 20 Jun – Tujuh orang lagi disahkan positif dijangkiti wabak influenza A (H1N1) termasuk satu penularan tempatan dikesan di negara ini dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan terkini meningkat kepada 42 kes.

Salah satu daripada kes itu melibatkan murid perempuan berusia 11 tahun dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Jalan Davidson, Kuala Lumpur yang pulang bercuti bersama 11 ahli keluarganya dari Melbourne, Australia baru-baru ini.

Murid itu yang disahkan sebagai kes ke-36, tiba di negara ini dengan pesawat AirAsia XD7 2723 pada pukul 7 pagi Selalu lalu.

Dia dihantar gurunya ke hospital kerana demam selepas ke sekolah pada Rabu serta Khamis.

Murid itu adalah individu yang berhubungan dengan neneknya iaitu kes H1N1 ke-31, yang turut bercuti bersamanya dan menaiki pesawat yang sama.

Dua ahli keluarga mereka yang lain turut disahkan positif H1N1 iaitu kes ke-41 dan ke-42.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, serentak itu, 51 rakan sekelas murid berkenaan yang berinteraksi rapat dengannya dikenakan tindakan kuarantin di rumah selama tujuh hari bermula semalam.

Katanya, kementerian sedang mengenal pasti guru dan rakan di kelas lain yang berinteraksi rapat dengan mangsa dan jika ada, mereka juga akan dikuarantin.

Bagaimanapun, jelas beliau, sekolah itu tidak akan ditutup buat masa ini kerana tiada penularan dalaman.

“Namun jika ada satu lagi kes H1N1 di sekolah berkenaan, kementerian akan merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membuat cadangan menutup sekolah itu.

“Orang ramai diseru tidak panik dan kita menasihatkan ibu bapa, guru dan pelajar yang dikenakan kuarantin di rumah mengelakkan diri daripada berinteraksi dengan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Berjalan 10,000 Langkah Sehari dan Hari Keluarga Kementerian Kesihatan di Taman Wetland di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr. Mohd. Nasir Mohd. Ashraf dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican.

Menurut Tiong Lai, beliau telah mengarahkan Mohd. Ismail supaya membuat kajian bersama dengan pihak Kementerian Pelajaran mengenai langkah pencegahan lain khasnya di sekolah termasuk kemungkinan membuat imbasan suhu ke atas pelajar untuk pengesanan awal.

SUMBER: Utusan Malaysia Online

Image Hosted by ImageShack.us

No comments:

© ヅ TohPuan AA, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena