Indeed Allah will not change the condition of a people until they change what is in themselves - Ar-Ra'd: 11

Sunday, May 4, 2008



[petikan dr ust saiful..]

sekadar renungan..lawatlah --->http://saifulislam.com/?p=1850#more-1850

Kenapa mesti bercouple sebelum berkahwin?”, soal seorang ustaz dengan tegas.

“Mana mungkin sebuah rumahtangga mendapat keredhaan Allah jika permulaannya sudah tidak tentu hala!”, ujar seorang pendakwah dengan penuh yakin.

Segala nasihat tertuju kepada menyeru agar maksiat dihindarkan oleh mereka yang di usia muda. Jangan mulakan alam rumahtangga dengan dosa dan noda. Kelak binasa.

Tidak susah untuk memahami seruan ini. Itulah kehendak agama. Dosa tidak menjanjikan bahagia. Kebahagiaan letaknya pada ketaatan kepada Allah. Semua itu telah banyak saya ungkapkan di dalam artikel yang lalu. Sebahagian besarnya sudah termuat di dalam buku AKU TERIMA NIKAHNYA.

Dosa tidak menjanjikan bahagia.

Tetapi pastikah bahagia hanya kerana sudah terhindar dari dosa? Jika dosa itu derita, taat itu nikmat kebahagiaan, maka bahagiakah rumahtangga yang jauh dari dosa?

Soalan ini tidak boleh dijawab dengan bahasa praktikal oleh anak-anak muda yang baru menceburkan diri ke alam mencari dan memilih pasangan hidup. Perbincangan kali ini lebih merupakan sebahagian daripada tuntutan Begin with the End in Mind untuk mereka renungkan. Ada pun persoalan yang sedang saya ketengahkan ini, ia adalah untuk mereka yang sudah separuh atau suku jalan menempuh kehidupan berumahtangga.

Persoalan ini banyak mengganggu fikiran saya. Sedikit demi sedikit saya didatangi dengan kes-kes yang luar biasa. Mula-mula ia hanya sekali dua, tetapi lama kelamaan segalanya menjadi seperti timbunan tanah membentuk busut. Hingga tercetus suatu kebimbangan.

Satu demi satu rumahtangga retak dan ribut.

Bukan rumahtangga yang kotor dengan dosa. Bukan suami isteri yang lupa Tuhan. Rumahtangga ini adalah rumahtangga yang dibentuk menurut lunas-lunas Islam. Permulaannya bersih dari masalah pergaulan bebas, malah kedua pasangan ini ‘disatukan’ atas cita-cita Islam, dakwah dan perjuangan yang menemukan mereka.

Seorang ‘akhi’ dan seorang ‘ukhti’, dalam suasana taat kepada Allah… bersatu dalam sebuah Bait Muslim yang berslogankan Baiti Jannati (rumahku syurgaku). Perkahwinan mereka adalah apa yang diimpikan oleh setiap mereka yang mahu mencari separuh kesempurnaan beragama melalui jalan perkahwinan, yang terbina di atas asas taqwa.

Tetapi perkahwinan yang ideal ini sedang diuji. Sangka saya satu atau dua. Ia mungkin kes terpencil. Tetapi sedikit demi sedikit kes ini bertambah dan bercantum, hingga menghasilkan suatu kerisauan yang mendalam. Di manakah silapnya?

Terlalu sulit untuk saya lakarkan kes-kes yang membabitkan rumahtangga ini kerana ia amat sensitif. Rumahtangga seorang lelaki yang berfikrah Islam dan seorang perempuan yang berfikrah Islam, kecundang selepas perkahwinan menjangkau usia matang. Ada di antaranya yang membabitkan perbuatan-perbuatan suami, ada juga yang membabitkan masalah yang ditimbulkan oleh pihak isteri.

Ada suami yang berfikrah Islam, sama ada seorang ustaz mahu pun seorang profesional, mencemarkan rumahtangganya dengan perbuatan-perbuatan curang, bermain kayu tiga, malah ada yang menjadi abusive terhadap isteri dan anak-anak. Ada juga isteri yang berfikrah Islam, merosakkan rumahtangganya dengan perbuatan yang sama… hingga menjadi beban kepada fikiran saya untuk menanggung rahsia mereka.

Saya terpaksa beristighfar, menenangkan diri sendiri dan isteri, sebelum mampu untuk menyelami masalah seperti ini. Gerun dan kesah memikirkan rumahtangga sendiri. Segala yang diperlukan untuk membina rumahtangga dalam sebuah ketaatan telah dilakukan, tetapi saya sedang berdepan dengan insiden kehancuran rumahtangga seperti ini. Jika bukan silap berkaitan dosa dan taat kepada Allah, apa lagi yang tidak kena.

“Rumahtangga ini hanyalah sebuah tanggungjawab. Saya gagal menemui cinta. Saya tidak cintakan suami saya!”, salah satu kes yang saya tangani, tiba kepada jawapan yang dicari.

Saya kebingungan.

Biar pun kali ini jawapannya sungguh jelas dan terus kepada lubuk masalah, ia bukan satu atau dua kes, tetapi saya sedang menanggung beban kes yang berbilang.




No comments:

© ヅ TohPuan AA, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena